Virus, sindrom, penyakit atau wabak merupakan beberapa fenomena yang menyerang dunia Islam pada masa kini dalam konteks fatwa. Contohnya Arab Saudi terpaksa membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa orang ulama tentang Hari Kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu fatwa yang mengharamkan perayaan Hari Kebangsaan atas alasan bahawa perayaan di dalam Islam hanya diharuskan bagi dua peristiwa, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban. Merayakan hari lain adalah haram, termasuk Hari Kebangsaan.
Mufti Kerajaan Saudi terpaksa mengeluarkan fatwanya bahawa perayaan Hari Kebangsaan itu adalah satu sambutan kebangsaan yang tidak berkaitan dengan perayaan agama. Maka dengan itu Hari Kebangsaan Saudi dapat disambut pada 23 September setiap tahun. Banyak fatwa lain yang lebih serius lagi berlaku di dalam dunia Islam, seperti fatwa yang mengharuskan seorang Islam bagi membunuh dirinya untuk membunuh orang lain yang dianggap musuh sama ada musuh seagama atau musuh yang bukan Islam. Fatwa begini yang berkemungkinan besar telah mengakibatkan berlakunya kejadian bom kenderaan, atau perbuatan pengebom berani mati yang meletupkan dirinya di tengah khalayak ramai atau di mana-mana sahaja yang banyak berlaku sekarang.
Saya dapat bayangkan juga bagaimana kecohnya masyarakat kita di Malaysia, sekiranya setiap mufti di Malaysia mengeluarkan fatwa masing-masing yang bercanggahan sama sendiri. Malaysia, sungguhpun negara kecil dengan penduduk Islamnya yang kecil jika dibandingkan dengan negara Islam lain seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan sebagainya, tetapi kita mempunyai mufti yang banyak, iaitu 14 orang. Kita boleh gambarkan betapa kecohnya masyarakat Islam kita sekiranya para mufti membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa sendiri.
Pendeknya isu fatwa di negara-negara Islam telah menjadi seperti satu fenomena yang ditangani dengan mudah oleh sesiapa sahaja yang merasakan dirinya lebih pandai daripada orang lain dalam ajaran agama. Masalah kesalahan fahaman fatwa inilah yang menimbulkan banyak kekeliruan umat Islam sendiri dalam mengamalkan ajaran agamanya.

1 comment:
Blog yang aki buat ni bagus dan berkaitan dengan isu negara Islam. Terimakasih sebab masukkan isu ni sebagai pengetahuan saya, Saya pun tak Tahu pasal isu ni kalau aki tak masukkan.
Post a Comment