Thursday, October 23, 2008

PENGENALAN

KONSEP BLOG SAYA

Penulisan blog perkembang aktif bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan semasa dunia ICT. Pelbagai pandangan dan pendapat dapat dikeluarkan dalam penulisan blog ini. Ada yang membicarakan mengenai isu-isu semasa, hal agama, politik dan sebagainya. Penulisan blog yang dihasilkan itu diharap dapat memberi sedikit manfaat dan input kepada sesiapa yang gemar melayari laman-laman blog ini.

Sebagai memenuhi kursus PPPM 3032 Teknologi Maklumat Dakwah, satu kertas projek perlu disiapkan oleh pelajar-pelajar yang mengambil kursus ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar di Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan. Penulisan blog ini sangat berguna sekali kerana ia memberi pendedahan kepada pelajar tentang bagaimana membuat blog, menulis rencana ataupun isu-isu semasa seterusnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain juga melalui ilmu dan maklumat yang disampaikan itu.

Dalam penulisan blog saya yang beralamat
http://cahayawahyu.blogspot.com saya cuba untuk mengupas beberapa isu penting yang perlu kita perhatikan dalam melayari kehidupan kita seharian ini. Antara isu yang dikupas dalam blog ini ialah isu akidah Islam. Di dalam isu ini saya mengupas tentang isu black metal yang mana kumpulan ini terpesong jauh akidahnya daripada landasan Islam yang sebenar.

Isu kedua yang saya bawakan ialah isu pendidikan anak-anak, dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak ibu bapalah antara tunggak utama dalam mencorak anak-anak agar menjadi orang yang berguna kepada bangsa, agama dan Negara. Isu ketiga ialah isu ekonomi Islam, dalam blog ini saya menulis tentang perbankkan Islam yang dijalankan pada masa sekarang. Tidak dilupakan juga isu Negara Islam yang menyentuh tentang fatwa. Isu yang kelima ialah isu penghayatan Islam, dalam isu ini saya menulis tentang perkahwinan campur, adakah mereka yang berkawin campur ini masih lagi menghayati Islam dalam kehidupan mereka.

Isu yang keenam ialah isu pembinaan keluarga Islam yang memerlukan komitmen yang sepenuhnya daripada ibu bapa yang merupakan asas dalam pembinaan keluarga Islam. Isu politik Islam juga dikupas didalam blog ini, dalam isu politik ini saya menekankan tentang ketelusan pemilihan tampuk pemerintahan dalam menggerakkan sesebuah Negara. Isu yang kelapan ialah isu undang-undang Islam, apa yang saya bawakan ialah betapa syumulnya undang-undang yang terdapat dalam Islam. Isu kesembilan ialah isu ilmu-ilmu Islam, ilmu yang ditonjolkan ialah ilmu komunikasi yang mempunyai pelbagai medium seiring dengan perubahan zaman kini. Isu yang terakhir ialah isu penuntut Islam di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di mana saya menulis tentang mahasiswa yang runtuh akhlaknya akibat kejutan budaya kehidupan kampus.

Diharapkan setiap apa yang ditulis dan disampaikan di dalam blog saya ini akan memberikan sedikit tambahan ilmu kepada sahabat-sahabat yang lain apabila membacanya. Saya juga berharap agar kemudahan blog ini dapat dijadikan sebagai medium dakwah yang sangat efisyen dalam menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat di luar sana. Sama-samalah kita manfaatkan medium ini untuk kebaikkan bersama dalam memartabatkan Islam.

Semoga pada masa-masa yang akan datang saya dapat memperbaiki penulisan blog saya agar isu yang di bawa nanti berkembang mengikut arus semasa.

Monday, October 20, 2008

ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT

Isu keruntuhan akhlak di kalangan pelajar IPT bukanlah suatu perkara baru, hal sebegini sebenarnya sudah lama menjalar dikalangan pelajar kampus dalam dan luar Negara. Contoh pelajar IPT yang dikatakan tergelincir akhlaknya ialah Sufiah Yusof pelajar pintar dari Universiti Oxford. Sesetengah pelajar cemerlang dan baik ketika di sekolah, namun tewas ketika di universiti. Ada yang bertukar watak dan perangai sehingga merisaukan ibu bapa di kampung.

Ada yang beranggapan universiti sebagai jalur sempadan memisahkan keperluan mendalami bidang akademik dan agama. Bagi mereka ilmu fardu ain berhenti setakat zaman sekolah dan di universiti mula belajar ilmu fardu kifayah. Ilmu berkaitan akidah, fiqah dan akhlak sudah belajar ketika di zaman sekolah, maka zaman kampus harus diberi tumpuan kepada subjek akademik universiti sahaja, dengan merangkul segulung ijazah, mereka menggunakannya untuk mencari wang dan pekerjaan.
Sebanarnya, Peringkat universiti cukup genting untuk menyusun dan memantapkan kefahaman Islam seseorang. Jika ketika peringkat tertinggi ini tidak diberi perhatian, ramai akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti.

Oleh itu perkara ini haruslah dititikberatkan oleh pimpinan tertinggi daripada peringkat Rektor/Naib Canselor, profesor, dekan, sehinggalah kepada pensyarah untuk mewujudkan keghairahan pembentukan sistem pendidikan Islam yang kemas dan berkualiti dan yang paling penting diri mahasiswa itu sendiri mesti ada kesedaran untuk menjaga akhlak dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan akhirat.

ISU ILMU-ILMU ISLAM(ilmu komunikasi)


Ilmu komunikasi adalah diantara disiplin ilmu yang terkandung di dalam ajaran Islam. Islam telah mengajarkan kemurnian dalam berkomunikasi seperti menjaga lidah, mengungkap perkara-perkara yang baik, bercakap dengan lemah lembut dan menjahui komunikasi tercela seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan sebagainya.


Dewasa ini terdapat teknologi yang canggih untuk menghubungkan dan memudahkan kita untuk berkomunikasi antaranya menggunakan telefon, kemudahan internet saperti e-mail, chat room dan sebagainya. Teknologi yang ada pada zaman sekarang ini sangat berguna sekali kerana ia mudah dan cepat untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada sesiapa sahaja yang kita inginkan walaupun individu tersebut berada beribu batu jauh daripada kita.

Walaubagaimanapun kita haruslah berhati-hati dalam menerima maklumat yang terkandung di dalam teknologi moden zaman sekarang ini. Hal ini kerana maklumat yang di sampaikan di dalam internet contohnya, ada kalanya tidak diketahui sumber dan kesahihannya.

Oleh itu kita haruslah menjadi seorang pengguna teknologi moden ini dengan bijak agar tidak melanggar kemurnian-kemurnian komunikasi yang telah diajarkan didalam ajaran Islam.

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM

Sekiranya kita tilik, kaji dan teliti, undang-undang Islam itu begitu unggul, syumul, dan melengkapi segala-galanya, lagi dapat difikirkan logiknya tetapi apa yang diperhatikan kes-kes yang berlaku dewasa ini seolah-olah tidak menghiraukan undang-undang yang terkandung di dalam ajaran Islam.
Kita perhatikan, ketagihan dadah, ganja, arak, rompak, rogol beramai-ramai, sumbang mahram, ragut, buang anak dan lain-lain lagi yang kita boleh lihat di media massa banyak melibatkan orang Islam, pada hal ajaran Islam telah meletakkan undang-undangnya bahawa semua perkara di atas yang di lakukan pada hari ini adalah haram dan berdosa.

Tetapi bagi mereka yang terlibat dengan perkara-perkara mungkar sebegini, mereka setakat menjadi penganut agama Islam tanpa memahami ajaran Islam itu sendiri. Maka tidak peliklah kalau mereka akhirnya terlibat dengan perkara-perkara seperti di atas.

Baginda bersabda : Ku tinggalkan pada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang kepada keduanya, kamu sesekali tidak akan sesat buat selama-lamanya, iaitu kitabullah dan sunah nabi.

Bagi mereka yang melanggar undang-undang Islam inilah yang membelakangkan dua perkara yang Nabi tinggalkan ini. Bukan mudah untuk menanamkan atau melahirkan rasa insaf dalam diri, segala-galanya ada kaitan dengan iman, ilmu pengetahuan yang perlu disemaikan dalam jiwa dari masa kesemasa, kerana segala-galanya hanya akan lahir dengan adanya iman.

ISU POLITIK ISLAM(pemilihan pemimpin)

Pemilihan pemimpin amat penting untuk menentukan kekuatan sesebuah parti politik. Sistem demokrasi yang diamalkan untuk menentukan pemilihan pemimpin tertinggi dalam parti perlu dilaksanakan secara adil, berhemah dan ikhlas. Kesukaran untuk memilih calon berwibawa merupakan masalah kritikal yang dihadapai umat Islam masa kini. Ini disebabkan beberapa faktor yang sukar untuk diatasi umat Islam.

Antara faktor tersebut ialah ahli-ahli politik lebih menumpukan perhatian kepada perebutan kuasa bukan untuk memperkukuhkan kekuatan parti, proses pemilihan pemimpin perlu melalui pelbagai peringkat dan memakan masa yang lama sehingga menyebabkan pemimpin parti menumpukan perhatian kepada pemilihan calon daripada melaksanakan tugas seharian secara aktif dan kurang tegas dan kental dalam memperjuangkan objektif serta prinsip parti.

Berdasarkan kepada faktor-faktor di atas maka setiap ahli dan pemimpin parti perlu ikhlas serta jujur memilih calon parti supaya agama dan bangsa dapat dibela. Kewibawaan dan kehebatan kepimpinan Islam perlu dijadikan contoh kepada masyarakat dalam negara ini. Konsep universaliti dalam Islam perlu difahami secara jelas supaya setiap bangsa dalam negara ini melihat parti politik Islam dalam perspektif yang positif.

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM

Sambutan tahun baru 2006 digemparkan dengan dua peristiwa yang melibatkan kemurnian dan kesucian Islam. Pertama, anak muda Islam telah menjadi sasaran oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab secara terbuka dengan menawarkan pakej sambutan tahun baru yang berbentuk pesta seks yang dirancang di sebuah pulau peranginan. Kedua, lebih 400 remaja dipercayai anggota kumpulan `Black Metal' ditahan sewaktu menyertai satu konsert haram sempena sambutan tahun baru.

Dua situasi ini menggambarkan betapa meruncingnya tahap dan nilai etika remaja Islam masa kini. Apakah keadaan ini menandakan institusi kekeluargaan semakin terhakis dan tidak lagi berfungsi dalam proses pentarbiahan terawal anak-anak. Kegagalan institusi keluarga memainkan peranan sebagai role model dan qudwah hasanah (teladan) semakin menyeret remaja jauh daripada kebenaran dan kesedaran.

Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang bermula dari rumah meliputi bimbingan dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan remaja perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama, persediaan memasuki alam remaja dan ketahanan diri menghadapi pergolakan sosial perlu ditanam dalam institusi keluarga.

Oleh yang demikian proses pentarbiahan anak-anak ini mengambil masa yang panjang dan sudah tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam apa juga bentuk pengorbanan yang perlu dilakukan agar pembentukan keluarga itu berasaskan ajaran Islam.

ISU PENGHAYATAN ISLAM

Penghayatan Islam boleh disematkan di dalam diri dengan melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar di dalam diri, melihat akan kekuasaan Allah, mentadabbur alam, menjaga dan menitikberatkan nilai-nilai dan norma-norma dalam Islam seperti memberi salam, bersyukur, beserah diri dan sebagainya. Isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah masih adakah lagi penghayatan Islam dalam sesebuah keluarga yang dibina berasaskan perkahwinan campur?

Dengan adanya kemudahan internet, pergi belajar ke luar negara serta kemasukan warga asing ke negara ini sebagai pekerja, penuntut kolej ataupun universiti, maka semakin ramailah wanita Melayu berkenalan dan akhirnya berkahwin dengan orang asing. Adakah perkara ini dilakukan kerana mengikuti kecenderungan masa kini. Bagi mereka, Islam atau budaya Melayu adalah soal picisan sahaja. Pakai baju Melayu semasa naik pelamin sudah cukup.

Mungkin ada yang berbuat demikian kerana ia merupakan satu trend apatah lagi kalau gadis-gadis ini sendiri merupakan anak pasangan campuran. Soalnya berapa peratuskah pasangan kahwin campur melibatkan gadis-gadis Melayu ini boleh menghayati Melayu dan Islam seperti yang dituntut oleh agama suci kita. Sebagai contoh membudayakan memberi salam sesama muslim apabila bertegur sapa atau hanya mengucapkan “hai” atau hello” seperti yang dipraktikkan oleh orang barat?